Mitos dan Fakta Pemakanan Berpantang

Mitos Waktu Berpantang

Berpantang..perlu atau tidak ? Tahukah anda, berpantang selepas bersalin memang sangat perlu bagi memastikan tubuh badan si ibu mampu pulih dan sembuh seperti sedia kala. Wanita yang baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan semasa dalam pantang sebagaimana yang disarankan oleh budaya mereka. Tempoh berpantang pula berbeza mengikut budaya masing-masing, tempoh berpantang bagi wanita Melayu adalah antara 40 hingga 55 hari, dan tempoh berpantang bagi wanita Cina dan India ialah 30 hari.

Kenapa Kita Perlu Berpantang ?

Tempoh berpantang ini sangat penting namun ianya bergantung pada persepsi individual yang menilainya. Mungkin ada sesetengah wanita menganggap tempoh berpantang adalah bukan sesuatu yang penting. Namun begitu, tempoh berpantang adalah dianggap sebagai masa bagi ibu lepas bersalin untuk merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Apakah mitos dalam amalan pantang-larang pemakanan semasa berpantang ?

.Kita sering dimomok-momokkan dengan pelbagai pendapat tentang amalan pemakanan semasa berpantang. Adakah semua itu mitos atau fakta ?

 1) Jangan Makan Ubi-Ubian

Mitos – Ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan daripada jenis ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ubi kayu kerana makanan ini dipercayai mengganggu proses pencernaan dan menyebabkan ibu kembung perut.

Fakta – Ubi-ubian merupakan makanan bijirin yang membekalkan karbohidrat sebagai sumber tenaga.

Jika ibu tidak boleh mengambil ubi-ubian semasa dalam pantang, ibu boleh mengambil makanan gantian daripada kumpulan bijirin yang lain seperti nasi sebagai sumber karbohidrat dalam diet ibu.

2) Mengelak Makanan ‘Sejuk’

Mitos – Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, petola, terung, timun, tembikai dan pisang dianggap ’sejuk’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang. 

Mengelakkan makanan sejuk dikatakan dapat membantu melancarkan pengaliran darah dan melambatkan proses pemulihan. Makanan sejuk menyebabkan kembung perut, kejang otot dan sakit-sakit badan.

Fakta – Tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan bahawa mengelak makanan-makanan ini memberi sebarang faedah kepada kesihatan ibu dalam pantang. 

Serat amat penting untuk melancarkan pembuangan najis bagi mencegah masalah sembelit yang sering kali dialami oleh ibu yang baru bersalin. 

3) Ayam dan telur ‘bisa’ dan boleh membuatkan luka gatal ?

 Mitos – Beberapa jenis ikan, ayam, telur dan beberapa jenis buah-buahan seperti nenas dianggap sebagai ’bisa’ dan ’tajam’. Makanan berbisa dikatakan boleh melambatkan penyembuhan luka bersalin serta boleh menyebabkan pendarahan bagi ibu dalam pantang. 

Fakta – Makanan ini merupakan sumber yang baik untuk protein, vitamin dan garam mineral. Kekacang juga merupakan sumber serat yang baik. Pengambilan serat dapat membantu mengurangkan masalah sembelit.

4) Jangan minum air banyak, nanti urat kembang ! 

Mitos – Ibu dalam pantang tidak boleh minum air dengan banyak kerana dipercayai boleh menyebabkan urat saraf menjadi kembang. Fakta – Ibu dalam pantang perlu minum air secukupnya iaitu 6-8 gelas sehari. Kepercayaan ibu dalam pantang perlu mengehadkan pengambilan air adalah perlu dielakkan.

Pengambilan air secukupnya amat penting bagi ibu yang menyusukan bayi untuk menggantikan air yang diguna untuk menghasilkan susu ibu. Seseorang ibu menghasilkan anggaran 800ml atau 4 gelas susu ibu sehari.

Ibu dalam pantang perlu mengamalkan diet yang sihat dan seimbang untuk kesihatan ibu dan juga bayi. Amalan pemakanan yang sihat juga akan membantu proses penyusuan. Pastikan ibu di luar sana tidak mengamalkan pantang-larang pemakanan yang keterlaluan sehingga menghadkan jumlah pengambilan makanan dan air atau tidak mengambil sumber makanan daripada kumpulan makanan yang tertentu. 

Leave a Reply