Pernah tak anda mengalami situasi dimana anda sedang diet tetapi berat tidak turun-turun atau tetap naik? Situasi ini boleh menyebabkan kekecewaan dan anda akan behenti diet. Tetapi jangan putus asa lagi. Jom kita tengok faktor apa yang menyebabkan berat badan susah nak turun.

Kalori defisit wajib berlaku untuk penurunan berat badan. Pengiraan kalori sehari penting bagi memastikan kalori defisit berlaku dan anda tidak leka dengan apa yang dimakan. Mungkin anda merasakan anda sudah diet pada hari itu tetapi hakikatkan tiada kalori defisit. Jadi untuk memastikan kalori defisit benar-benar berlaku, anda boleh menggunakan aplikasi pengiraan kalori sehari seperti MyfitnessPal atau MyNutriDiari2.

Kajian mendapati waktu makan yang tidak teratur akan menyebabkan paras gula yang tidak stabil, kurang proses pembakaran tenaga dan merendahkan metabolism. Tidak bersarapan atau tidak makan malam mungkin akan meletakkan anda di dalam mood ‘starving’ yang menyebabkan badan mengurangkan pembakaran kalori. Anda dinasihatkan untuk mengambil makanan secara teratur seperti rajah di bawah. Kajian juga mendapati makan lewat malam boleh meningkatkan risiko obesiti dan diabetes.

Ada siapa yang tak suka minum air kosong? Air kosong sangat penting semasa proses penurunan berat badan. Hal ini kerana air kosong akan meningkatkan proses pembakaran lemak dan dapat meningkatkan metabolism badan. Air kosong juga dapat membuatkan kita berasa lebih kenyang dan dapat mengurangkan porsi makanan yang diambil.

Tidur yang tidak cukup atau tidur lewat malam didapati dapat meningkatkan risiko obesiti. Tidur yang tidak mencukupi mewujudkan ketidakseimbangan hormon dalam badan yang menggalakkan pengambilan makanan berlebihan dan penambahan berat badan. Leptin dan ghrelin adalah hormon yang mengawal selera makan, dan apabila anda tidak mendapat tidur yang mencukupi, pengeluaran hormon ini diubah dengan cara yang menimbulkan rasa lapar yang meningkat.

Pengambilan makanan atau minuman manis yang berlebihan boleh melambatkan proses penurunan berat badan. Paras gula dalam darah yang tinggi akan meningkatkan tahap insulin anda, yang merupakan hormon penyimpanan lemak, ketika paras gula dalam darah tinggi, insulin mengarahkan simpanan lemak untuk menyimpan lemak dan menghalangnya daripada dipecahkan. Oleh itu, berat badan akan kekal atau menaik. Tahap insulin yang tinggi juga cenderung untuk meningkatkan keinginan pengambilan gula.

Mengikut kajian, semakin tinggi tekanan yang anda ada, semakin sukar untuk menurunkan berat badan. Apabila seseorang mempunyai tekanan yang tinggi, badan akan mengeluarkan hormon cortisol. Hormon cortisol yang tinggi dapat meningkatkan selera makan anda dan boleh menyebabkan keinginan atau ‘craving’ untuk makan makanan manis, berlemak dan masin.

Kurang aktiviti fizikal juga merupakan salah satu faktor berat badan susah untuk turun. Kurang fizikal aktiviti boleh merendahkan metabolism badan dan mengurangkan jisim otot badan. Jisim otot badan sangat membantu dalam pembakaran kalori. Selain itu, aktiviti fizikal juga merupakan komponen penting dalam mengekalkan berat badan selepas berlaku penurunan.

Amalan pemakanan yang salah juga menjadi punca kepada berat badan yang susah turun. Antara kesilapan dalam amalan pemakanan yang sering dilakukan adalah :
- Nasi kuah banjir. Tahukah anda, 1 sudu kuah berlemak atau bersantan seperti kari dan rendang mengandungi 50kcl.
- Makan nasi lebih dari sayur dalam satu hidangan.
- Makan lauk dalam jumlah yang banyak seperti ayam dan telur atau daging dan ayam.