Nasi Bukan Punca Kegemukan

Nasi ini adalah salah satu sumber karbohidrat. Malaysian RNI (Recommend Nutrient Intake) ada menyatakan bahawa badan kita memerlukan karbohidrat, lemak dan protein. Pengambilan makanan yang pelbagai dan seimbang boleh memberi gabungan tenaga dan zat-zat makanan yang berbeza, dapat membantu menjaga kesihatan secara am dan mendapatkan tenaga yang mencukupi untuk fungsi harian. Pengambilan diet yang terdiri daripada pelbagai sumber bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging, ikan, ayam, kekacang, dan produk tenusu memenuhi keperluan protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral yang penting untuk fungsi badan anda

Bilangan hidangan dikira berdasarkan 60% jumlah kalori daripada karbohidrat (50% karbohidrat komplek + 10% gula ringkas), 15% daripada protein dan 25% daripada lemak, untuk orang yang memerlukan jumlah 1,500 kcal sehari, 2,000 kcal sehari atau 2,500 kcal sehari. Jumlah kalori yang diperlukan bergantung pada individu dan aktiviti fizikal yang dilakukan.

6 Cara Makan Nasi yang Salah dan Boleh Menyebabkan Kegemukan

Makan nasi terlalu banyak juga boleh menyebabkan kegemukan. Saiz satu hidangan nasi adalah 2 senduk sahaja. Pastikan anda makan dalam saiz hidangan yang ditetapkan dan jangan makan secara berlebihan. Anda boleh ambil 3 hingga 5 hidangan nasi setiap hari. Anda mungkin boleh bahagikan 2 senduk nasi waktu pagi, 2 senduk pada waktu makan tengah hari dan 2 senduk nasi untuk makan malam. Maka lengkaplah tiga hidangan nasi untuk sehari.

Nasi tinggi kalori akan menyumbang kepada pengambilan kalori yang berlebihan. Antara nasi yang tinggi kalori adalah nasi minyak, nasi lemak dan nasi goreng.

Tahukah anda, kalori 1 senduk nasi putih bersamaan dengan 100 kalori, 1 senduk nasi minyak pula bersamaan 134 kalori. Pastikan anda makan dalam saiz hidangan yang betul dan sertakan sayur dan buah di dalam setiap hidangan.

Kuah banjir atau kuah terlalu banyak boleh menggemukkan ? Ya, Kuah banjir boleh menyumbang kalori yang banyak. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa satu sudu kuah berlemak & bersantan seperti kari dan rendang mengandungi 50kcal. Secara anggaran, satu pinggan kuah banjir mengandungi 800kcal. Selain itu, kuah juga mengandungi garam dan gula jadi pastikan anda makan secara bersederhana. Jangan tambah kalori dengan kuah yang berlebihan

Makan nasi tanpa lauk boleh bantu turunkan berat badan ? Tidak, makan nasi tanpa lauk tidak akan membantu dalam proses penurunan berat badan. Anda akan cepat rasa lapar sekiranya anda hanya makan nasi sahaja. Ini terjadi kerana pengambilan serat dan protein yang kurang. Serat dan protein boleh didapati dari lauk yang dimakan. Pastikan anda menggunakan konsep pinggan suku-suku separuh. Suku bahagian pinggan diisi dengan sumber protein seperti telur, ayam dan ikan. Suku bahagian pinggan lagi diisi dengan sumber karbohidrat seperti mee, nasi, pasta atau roti. Separuh dari pinggan anda diisi dengan sayur atau buah-buahan.

Berhentilah sebelum kenyang. Kita pasti pernah dengar ayat tersebut kan ? Malah Rasulullah SAW juga menjadikan ia sebagai salah satu sunnah yang diamalkan Baginda demi menjaga kesihatan diri. Antara tips yang boleh diamalkan untuk melatih diri supaya tidak makan dalam kuantiti yang banyak adalah makan sebelum lapar atau elakkan langkau waktu makan. Berhenti makan sebelum kenyang (kira-kira 80% kenyang).

Makan nasi tak cukup lauk mampu membuatkan anda rasa lapar lebih cepat. Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan, anda boleh makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Cuba makan enam kali sehari (waktu makan utama dan snek) seperti makan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan minum malam (“supper”). Snek untuk minum pagi, minum petang dan minum malam perlulah sihat dan berkhasiat.

Leave a Reply