Jerawat adalah satu kondisi kulit yang kebiasaannya dialami oleh seseorang apabila meningkat ke usia remaja. Jerawat bukanlah satu masalah kesihatan yang serius. Namun, ianya boleh memberi impak dari segi psikososial seseorang. Jerawat terjadi apabila folikal rambut di kulit dipenuhi minyak dan sel-sel kulit yang mati yang membentuk benjolan dipanggil comedones. Antara kawasan yang biasanya ditumbuhi jerawat adalah di bahagian muka, leher, belakang badan, dada dan bahu.

Penyebab jerawat mula tumbuh di usia remaja adalah kerana kadar hormon androgen (contohnya testosterone) yang meningkat, lalu merangsang kalenjar minyak untuk menghasilkan lebih banyak minyak di kulit. Hal ini akan menyebabkan pertambahan Propionibacterium, iaitu sejenis bakteria anaerobik yang mendiami flora kulit, yang menyebabkan inflamasi atau keradangan pada kulit.
Majoriti kumpulan umur yang mengalami jerawat adalah antara 14 hingga 19 tahun. Pada usia pertengahan 20-an, jerawat boleh hilang apabila produksi hormon mula stabil dan jerawat mungkin kembali setelah menopause.


Tips jika anda mengalami jerawat:
- Ingat! Kesesuaian dan keberkesanan rawatan bergantung kepada faktor-faktor seperti punca jerawat, jenis kulit, umur, gaya hidup dan jenis jerawat.
- Mencuci muka menggunakan jenis sabun pencuci yang tidak mengeringkan kulit memadai satu hingga dua kali sehari adalah mencukupi bagi mengelakkan kulit menjadi terlalu kering.
- Elakkan dari menggunakan produk kosmetik yang boleh menyebabkan kulit muka bertambah kasar dan kering.
- Penjagaan rambut haruslah dititikberatkan. Rambut yang berminyak dan terkena kulit muka boleh menyebabkan pori-pori kulit yang tersumbat bertambah teruk.
- Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi minyak boleh menjadikan jerawat yang sedia ada makin serius.
- Pilih produk kecantikan yang berasaskan air (water based) dan wajibkan diri anda untuk mencuci mekap sebelum tidur.
- Elak dari menyentuh kulit muka dengan tangan kotor.