PUASA DAN UBAT
Bagi mereka yang memerlukan rawatan atau ubat-ubatan ketika bulan puasa, ia bukanlah penghalang besar bagi mereka. Pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan oleh pesakit. Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Perkara ini penting bagi mengelak sebarang kesan mudarat yang tidak diingini. Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu sebelum membuat pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat-ubatan.
Terdapat segelintir pesakit yang mengubahsuai cara pengambilan ubat ketika berpuasa tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi. Lebih parah lagi, sesetengah mereka ada yang tidak mahu mengambil ubat langsung ketika berpuasa.
Situasi ini amat membimbangkan, terutamanya kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan asma jika mereka berhenti mengambil ubat ketika berpuasa. Perkara seperti ini boleh memberi komplikasi atau kesan yang buruk kepada tahap kesihatan mereka.
CARA PENGAMBILAN UBAT :
Berikut adalah panduan umum berkaitan pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa.
PESAKIT DIABETES (KENCING MANIS)
Bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin, dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan sebelum bulan puasa. Pesakit perlu berbincang dengan doktor tentang pengambilan ubat-ubatan dan dos insulin ketika berpuasa untuk mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu rendah (hipoglisemia) atau terlalu tinggi (hiperglisemia).
Pesakit diabetes juga perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan menjalani program pendidikan bersama Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Jururawat Diabetes untuk memahami cara-cara berpuasa dengan betul ketika bulan Ramadan.
Jika pesakit mengalami simptom-simptom di atas atau dehidrasi, segeralah berbuka kerana ia boleh memberi kesan yang teruk kepada mereka. Segera berjumpa dengan doktor jika tanda-tanda masih tidak hilang atau keadaan semakin teruk.
TIPS YANG PERLU DIBERI PERHATIAN OLEH PESAKIT
- Lambatkan waktu bersahur. Makan dengan secukupnya, kerana jika makan terlalu awal atau sedikit boleh mengakibatkan masalah hipoglisemia.
- Percepatkan berbuka puasa. Berbuka dengan air dan makan 1-2 biji kurma untuk mendapatkan tenaga dengan segera.
- Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat maghrib. Jangan makan berlebihan ketika berbuka.
- Pilih makanan yang kurang kandungan gula, lemak dan garam.
- Mematuhi jadual pengambilan ubat-ubatan dan waktu suntikan insulin yang disyorkan doktor.
- Mengenali tanda-tanda hiperglisemia, hipoglisemia dan dehidrasi (kekurangan cairan badan).
- Segera berbuka jika terdapat tanda-tanda yang boleh memudaratkan.
- Keputusan pesakit untuk berpuasa harus dibincangkan dengan doktor. Pengawasan, pendidikan, penjagaan diri serta pengubahsuaian jadual pemakanan dan ubat-ubatan dapat membantu pesakit mengawal penyakit semasa berpuasa. Jika panduan dan syarat dapat dipatuhi, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat dan ianya tidak menjadi halangan besar bagi pesakit untuk berpuasa.
Sumber Rujukan: Kementerian Kesihatan Malaysia