Apa itu kudis buta?
Kudis buta atau dikenali sebagai skabies adalah sejenis penyakit kulit berjangkit yang disebabkan oleh hama Sarcoptes scabiei var hominis. Hama ini menumpang pada makhluk lain namun tidak memberi sebarang manfaat. Selain itu, hama ini juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar disebabkan oleh saiznya yang terlalu kecil. Hama scabies betina selalunya akan membuat laluan dalam kulit dan bertelur. Pendedahan kepada protein hama ini akan menyebabkan reaksi alahan kepada pesakit, seterusnya menyebabkan kegatalan yang melampau terutamanya pada waktu malam. Tindakan menggaru yang berterusan akan menyebabkan risiko jangkitan kuman.
Bagaimana seseorang mendapat kudis buta ini?
Sesorang boleh dijangkiti kudis buta melalui sentuhan secara langsung daripada kulit ke kulit. Selain itu, seseorang juga boleh mendapat jangkitan ini sekiranya tersentuh dengan cadar atau pakaian individu yang telah dijangkiti.
Jangkitan kudis buta ini biasanya berlaku bagi mereka yang tinggal dan bergaul rapat seperti di asrama, rumah orang-orang tua, taska dan rumah asuhan kanak-kanak. Ahli keluarga dan orang terdekat dengan pesakit juga terdedah kepada jangkitan ini.
Apakah gejala-gejalanya?
- Kegatalan yang teruk; terutama pada waktu malam atau selepas mandi air panas
- Bintik-bintik merah terutama di celah-celah tangan dan kaki
- Garisan hitam beralun dan pendek di kulit
- Tanda-tanda calar disebabkan menggaru
Dimanakah jangitan kudis buta ini selalu terjadi?
- Celah-celah jari
- Tapak tangan
- Bahagian dalam pergelangan tangan
- Bahagian kemaluan
- Punggung
- Siku
Apakah komplikasi daripada jangkitan ini?
Pesakit berisiko untuk mendapat jangkitan kuman pada kawasan yang digaru.
Apakah rawatan untuk jangkitan ini?
- Terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh mengatasi masalah jangkitan ini. Ubat-ubatan ini boleh didapati dalam bentuk krim atau losyen. Antaranya ialah:
- Permethrin
- benzyl benzoate
- crotamiton
- gamma benzene
- hexachloride.
- Sekiranya kegatalan berlaku secara berterusan, doktor boleh memberi ubat tahan gatal iaitu, anti-histamin jika perlu.
- Tips-tips penjagaan untuk jangkitan kudis buta ini termasuklah:
- Pesakit perlu mandi dengan air suam dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat.
- Pakaian, cadar dan tuala perlu dicuci dengan air panas lebih daripada 50 darjah Celsius.
- Masukkan barang yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik selama 7 hari supaya hama dan telurnya mati
- Perabot dan tempat tidur perlulah dibersihkan dengan menggunakan pencuci hampagas.
- Ahli keluarga dan orang terdekat perlulah dirawat sama.