Cara Menggunakan Ubat Sapu Steroid

Apakah itu Ubat Sapu Steroid?

Kortikosteroid ialah sejenis hormon semula jadi yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal dalam tubuh badan manusia. Ubat sapu steroid atau steroid topikal merupakan ubat kortikosteroid sintetik yang digunakan untuk merawat masalah kulit seperti ruam, dermatitis, gatal-gatal, ekzema dan psoriasis. 

Kebiasaannya, ubat ini selalu digunakan kurang daripada dua minggu. Penggunaan dalam jangka masa yang panjang tidak digalakkan kerana kesan sampingannya. Walaupun steroid topikal dapat mengurangkan keradangan kulit, tetapi ia juga boleh merendahkan sistem imun badan.

Mekanisme Ubat Sapu Steroid

Apabila kulit diganggu oleh bahan alergen (bendasing) atau berlaku interaksi, kulit akan bertindakbalas dengan mengeluarkan beberapa jenis bahan kimia yang menyebabkan keradangan kulit. Bahan kimia ini menyebabkan saluran darah di bawah kulit yang diganggu mengembang dan menyebabkan kulit yang terjejas menjadi merah, bengkak dan gatal. Ubat steroid topikal biasanya digunakan dalam situasi ini dan apabila diaplikasikan ke kulit, ia akan meresap ke dalam sel-sel kulit.

Ubat steroid topikal akan bertindak dengan menghalang bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan daripada dibebaskan ke dalam sel-sel kulit, dan sekaligus mengurangkan keradangan dan melegakan kegatalan.

Jenis-Jenis Ubat Sapu Steroid


Terdapat pelbagai jenis dan jenama steroid topikal di pasaran. Steroid topikal boleh terdapat dalam bentuk krim ‘ointment’ dan losyen. Secara amnya, steroid topikal boleh dibahagikan kepada empat kategori mengikut tahap kekuatannya (potency), iaitu ringan, sederhana kuat, kuat (‘potent’) dan sangat kuat.

Pemilihan kekuatan (potency) bergantung kepada bahagian yang terlibat dan tahap keterukan ekzema. Sebagai contoh, steroid topikal yang berpotensi ringan seperti krim hidrokortison 1% adalah sesuai untuk kawasan yang mempunyai kulit yang nipis seperti bahagian muka kanak-kanak atau badan bayi. Ubat steroid topikal yang kuat dari segi kekuatan biasanya digunakan oleh pesakit yang menghidapi penyakit psoriasis, lupus diskoid atau jenis ekzema yang teruk.

Walaupun kesan mengurangkan keradangan bertambah dengan kekuatan (potency) satu steroid, tetapi penggunaan berterusan akan membawa risiko kesan sampingan yang lebih tinggi. Ubat sapu jenis krim lebih sesuai digunkan untuk merawat kawasan lembap manakala jenis ‘ointment’ biasanya lebih sesuai untuk merawat kawasan kulit yang kering atau tebal.




Cara Penggunaan Ubat Sapu Steroid

Jumlah steroid topikal yang perlu guna biasanya diukur dalam unit hujung jari (Finger Tip Unit, FTUs) Satu FTU adalah jumlah steroid topikal yang diperah keluar dari tiub standard (untuk tiub yang mempunyai saiz muncung standard yang berukuran 5mm) meliputi jarak dari hujung jari ke lipatan pertama jari orang dewasa

Bagi rawatan untuk keradangan kulit (eczema) penggunaan emolien (pelembap) adalah menjadi satu keutamaan selain penggunaan steroid topikal. Emolien adalah berbeza dengan steroid topikal, dan harus digunakan secara liberal di seluruh badan. Selain itu, apabila menggunakan kedua-dua emolien dan steroid topikal, gunakan emolien dahulu, diikuti dengan steroid topikal setelah 10-15 minit. Ubat steroid topikal hanya boleh digunakan pada permukaan kulit sahaja. Jangan sesekali dimasukkan ke dalam mata, lubang hidung atau mulut. Sekiranya ia berlaku, bilas dengan air secepat mungkin.

Kadang-kadang dua atau lebih jenis steroid topikal yang mempunyai tahap kekuatan yang berbeza boleh digunakan oleh seseorang individu pada bahagian yang berlainan pada masa yang sama. Sebagai contoh, seorang pesakit menggunakan steroid topikal yang ringan steroid di kawasan muka dan steroid topikal yang sederhana kuat untuk kawasan lengan atau kaki. Steroid topikal yang berpotensi kuat sering diperlukan untuk eczema pada tapak tangan dan tapak kaki orang dewasa kerana kawasan-kawasan ini mempunyai kulit yang tebal.

Penggunaan Ubat Sapu Steroid Ketika Eczema ‘flare’

Semasa ekzema ‘flare’, steroid topikal yang lebih kuat akan digunakan selama 5 hari kerana ia dapat bekerja lebih cepat untuk mengurangkan keradangan kulit. Kemudian, steroid topikal yang kurang kuat akan digunakan untuk 5-7 hari dan dihentikan. Ini dapat mengurangkan keradangan kulit lebih cepat dengan kesan sampingan yang rendah. Untuk bahagian kulit yang tebal dan degil di tangan dan kaki, adakala anda perlu menggunakan steroid topikal untuk jangka masa dan keadaan kulit. k seminggu, di ikuti sekali sehari 1 hingga 2 minggu.

Sebagai contoh, untuk kulit tebal di tangan dan kaki, anda boleh menggunakan krim Betamethasone 1:4 dua kali sehari untuk seminggu, kemudian gunakan krim Betamethasone 1:8 yang mempunyai kekuatan lebih rendah dua kali sehari untuk seminggu, di ikuti sekali sehari 1 hingga 2 minggu.

Untuk sesetengah orang yang mempunyai eczema ‘flare’ yang kerap, satu pilihan yang boleh membantu ialah menggunakan steroid dua kali seminggu pada bahagian yang kerap berlaku ‘flare’ untuk mengelakkan ‘flare’. Dalam jangka masa panjang, jumlah steroid topikal yang digunakan adalah kurang daripada yang diguna semasa ‘flare’ yang berulang.

Kesan Sampingan Ubat Sapu Steroid

Kebiasaannya steroid topikal adalah selamat dan tidak menyebabkan masalah sekiranya steroid topikal digunakan dalam tempoh rawatan jangka yang pendek iaitu kurang daripada empat minggu. Kesan sampingan mungkin berlaku jika steroid topikal digunakan untuk tempoh yang lama, atau steroid kuat digunakan berulang kali. Perhatian perlu diberi jika steroid yang kuat digunakan untuk jangka panjang.

Salah satu kesan sampingan yang biasa adalah penipisan kulit. Biasanya, penipisan kulit dapat dikurangkan apabila steroid topikal dihentikan. Penggunaan steroid topikal untuk jangka panjang boleh menyebabkan ‘striae’ kekal (seperti ‘stretch mark’), lebam, perubahan warna, atau penipisan saluran darah (telangiectasia) dan mencetuskan masalah kulit yang lain seperti jerawat.

Penggunaan steroid topikal kuat untuk jangka masa panjang juga boleh memberi kesan kepada pertumbuhan. Oleh itu, pertumbuhan kanak-kanak yang memerlukan steroid topikal kuat yang berulang harus dipantau. Kesan sampingan sistemik jarang berlaku tetapi ia boleh berlaku apabila ubat steroid topikal digunakan pada keluasan permukaan kulit yang besar bagi jangka masa yang panjang. 

Bayi dan kanak-kanak lebih mudah mendapat kesan sampingan sistemik berbanding dengan orang dewasa. Sesetengah orang juga menjadi sensitif (alah) kepada ramuan dalam krim (seperti pengawet). Ini boleh menyebabkan keradangan kulit yang lebih teruk.

Cara-cara Untuk Mengurangkan Kesan Sampingan Steroid Topikal

Kesimpulannya, ubat steroid topikal adalah selamat sekiranya digunakan dengan betul mengikut indikasi yang tepat, dos yang bersesuaian, kawasan badan yang sesuai serta tempoh yang pendek dengan nasihat doktor atau ahli farmasi. Sekiranya berasa ragu-ragu berkenaan ubat steroid topikal, anda perlulah bertanya kepada doktor dan ahli farmasi.

Rujukan:

Kua Su Hway J. (2014). Ubat Steroid Topikal. Retrieved 25th April 2022 from http://www.myhealth.gov.my/ubat-steroid-topikal/

Muhammad N. (2021). Jangan Terlebih Guna! Ubat Steroid Topikal Untuk Masalah Kulit Ada Kesan Sampingan. Retrieved 26th April 2022 from https://hellodoktor.com/sihat-bergaya/masalah-kulit/steroid-topikal-kesan-sampingan/

Pharmaceutical Services Programmed, Ministry of Health Malaysia (2018). Topical Preparations Counselling Guide for Pharmacist

National Health Services (NHS) United Kingdom (2020). Hydrocortisone For Skin. Retrieved 27th April 2022 from https://www.nhs.uk/medicines/hydrocortisone-skin-cream/

Leave a Reply