Antibiotik adalah ubat yang membunuh dan merawat jangkitan bakteria seperti jangkitan radang paru-paru dan saluran kencing. Akan tetapi antibiotik tidak sepatutnya digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selesema dan batuk.
Walau bagaimanapun, penggunaan antibiotik tanpa kawalan dalam bidang perubatan telah menyebabkan peningkatan kes kerintangan antibiotik berlaku.
Semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah kerintangan antibiotik. Doktor haruslah memberikan antibiotik kepada pesakit yang memerlukan sahaja. Selain itu, ubat antibiotik mestilah dikawal selia yang mana pesakit hanya boleh mendapatkan ubat tersebut daripada doktor sahaja atau di premis farmasi komuniti melalui preskripsi yang sah. Keadaan pesakit haruslah diteliti dahulu sebelum diberikan antibiotik untuk mengelakkan penggunaan antibiotik yang salah.
Jangkitan kulat dan virus tidak seharusnya dirawat menggunakan antibiotik. Ini kerana antibiotik tidak dapat merawat jangkitan tersebut. Akhir sekali,adalah sangat penting untuk pesakit memahami cara penggunaan antibiotik yang diberikan dengan betul seperti jangan sesekali meninggalkan dos antibiotik, tidak berkongsi ubat antibiotik dengan orang lain walaupun mengalami simptom yang sama serta jangan sekali-kali menggandakan dos sekiranya terlupa mengambil dos sebelumnya
Akhir kata, kerintangan antibiotik adalah masalah serius dalam dunia perubatan. Semakin banyak kes kerintangan antibiotik dikesan, maka semakin berkuranglah pilihan antibiotik yang kita ada untuk merawat jangkitan superbugs tersebut.Oleh itu,pelbagai pihak termasuk pengguna dan ahli profesional kesihatan
perlu memainkan peranan dalam menangani masalah kerintangan antibiotik. Marilah kita sebarkan mesej ini kepada khalayak umum mengenai kepentingan untuk mengelakkan kerintangan antibiotik.