Batuk dan selsema merupakan suatu mekanisma pertahanan yang penting dalam tubuh badan manusia bagi melawan jangkitan dan mengeluarkan kahak secara semulajadi. Batuk dan selsema tidak memerlukan rawatan yang spesifik tetapi sekiranya ia mengganggu kehidupan seharian, rawatan bagi melegakannya selalunya diberikan jika perlu.
Simptom-simptom ini juga berlaku pada setiap peringkat umur termasuklah golongan kanak-kanak sehingga ia boleh menimbulkan kebimbangan kepada para ibu-bapa. Tapi tahu kah anda bahawa ubat batuk dan selsema ini mampu memudaratkan kanak-kanak yang berusia bawah daripada dua tahun?
Menurut “Food and Drugs Administration” (FDA) atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan 2007, pelbagai kesan sampingan daripada ubat batuk dan selsema di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun telah dilaporkan termasuklah masalah pernafasan, terlalu mengantuk, sawan serta kematian. Justeru itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewajibkan pihak syarikat untuk meletakkan label yang jelas pada botol ubat tentang larangan penggunaan ubat-ubatan ini ke atas kanak-kanak bawah dua tahun.
Sekiranya kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah mengalami gejala batuk dan selsema, terdapat kaedah-kaedah alternatif yang boleh diberikan bagi melegakan simptom-simptom tersebut; termasuklah
- Menggunakan garam isotonik (normal saline atau sodium chloride 0.9%) dalam bentuk titisan atau semburan hidung cecair.
- Menggunakan alat penyedut rongga hidung (nasal suction) untuk menyedut keluar mucus atau kahak daripada rongga hidung.
- Memberikan bayi atau kanak-kanak minum air secara kerap untuk menggalakkan penghidratan badan
Bagi sesetengah keadaan, ubat selsema dan batuk harus diberikan kepada kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah jika simptom-simptom mereka memudaratkan. Namun, haruslah diingatkan bahawa ia masih memerlukan rujukan daripada doktor untuk memberikan dos yang betul serta mempertimbangkan risiko dan faedah yang berkaitan. Malah, ubat batuk dan kahak juga tidak boleh dikongsi sebarangan kerana dos ubat-ubatan dalam kalangan kanak-kanak adalah berbeza dan mengikut berat badan mereka.
Kesimpulannya, walaupun, ubat batuk dan selsema telah digunakan secara meluas namun, penggunaan ubat-ubatan ini tidak masih digalakkan untuk golongan muda ini. Sekiranya perlu, ibu-bapa perlulah mendapatkan nasihat-nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan ubat-ubatan ini.