Cirit-birit adalah masalah yang sinonim berlaku dalam kalangan kanak-kanak, malah, ia dianggarkan seramai 1.8 juta kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia setiap tahun kerana gagal menerima rawatan dengan segera. Justeru itu, ibu bapa hendaklah tidak memandang remeh akan masalah ini.
Cirit-birit adalah masalah pencernaan yang mengakibatkan pembuangan najis menjadi lebih kerap, lembut dan berair, berbeza daripada kebiasaanya. Cirit-birit boleh terbahagi kepada dua:
- Cirit-birit akut: Berlaku kurang daripada 2 minggu. Selalunya cirit-birit ini disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria Salmonella) atau virus (Rotavirus).
- Cirit-birit kronik: Berlaku lebih daripada 2 minggu. Antara sebab-sebabnya adalah intolerans laktosa, alahan protein susu lembu atau masalah sistem penghadaman yang lain seperti penyakit radang usus (colitis ulseratif atau penyakit Crohn), penyakit celiac dan fibrosis sistik.
Antara tanda-tanda lain yang boleh berlaku seiring dengan cirit-birit adalah:
- Sakit atau kekejangan perut
- Demam
- Loya atau muntah
- Keletihan
Dalam konteks ini, komplikasi yang paling merisaukan adalah masalah dihidrasi yang teruk kerana badan manusia memerlukan jumlah air yang tertentu untuk berfungsi dengan baik. Hal ini terjadi kerana masalah cirit-birit menyebabkan kepada kehilangan air yang banyak. Oleh itu, ia boleh membawa kepada risiko yang lain seperti sawan, kegagalan buah pinggang serta kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Adalah amat penting bagi ibu bapa mengenal pasti dan mengambil perhatian kepada gejala-gejala dihidrasi seperti:
- Status kondisi anak secara umum (tidak bermaya, gelisah atau tidak sedarkan diri)
- Mata tenggelam
- Air mata yang sedikit
- Mulut, lidah dan bibir yang kering
- Penafasan yang laju dan singkat
- Nadi laju
- Air kencing yang sedikit atau tiada langsung
Kebiasaanya, masalah cirit-birit ini akan beransur pulih dalam beberapa hari. Walaubagaimanapun, bagi mencegah daripada berlakunya komplikasi seperti diatas, ibu-bapa haruslah mengamalkan langkah-langkah yang berikut termasuklah:
- Menggalakkan anak-anak untuk minum banyak air. Bagi si kecil yang masih menyusu, si ibu haruslah teruskan menyusu kerana susu ibu adalah pilihan yang terbaik bagi mereka.
- Memberikan larutan rehidrasi oral untuk menggantikan kehilangan air dan eletrolit dalam badan.
- Segera berjumpa dengan doktor sekiranya si kecil mengalami simptom-simptom dihidrasi, najis berdarah, sakit di bahagian abdomen, demam panas atau masalah cirit-birit yang kronik.
- Sentiasa menjaga kebersihan makanan dan botol susu anak.