Bagi si ibu yang baru melahirkan anak, adalah amat penting bagi mereka dalam merancang kehamilan yang seterusnya; terutama bagi mereka yang bersalin melalui proses pembedahan. Hal ini bagi memastikan badan si ibu mendapat rehat yang secukupnya, di samping memberi ruang kepada luka dalaman mereka untuk sembuh. Terdapat pelbagai kaedah merancang kehamilan yang boleh dilakukan seperti pengambilan pil perancang kehamilan, suntikan hormon, implant hormon dan sebagainya.
Pil perancang kehamilan merupakan salah satu kaedah perancang yang sering di gunakan. Bagi kaedah ini, terdapat dua jenis pek bungkusan yang akan menentukan cara pil ini di ambil seperti pek 21 biji dan pek 28 biji. Bilangan biji pil menunjukkan bilangan ubat hari tersebut yang perlu di ambil dan jumlah hari tanpa pil (drug-free bagi pek 21 biji).
Di samping itu, hormon yang terdapat dalam pil ini adalah sama dengan hormon reproduktif dalam badan wanita. Terdapat tiga klasifikasi bagi pil perancang kehamilan ini termasuklah: · Pil kombinasi (mengandungi hormon estrogen dan progestin). Pil jenis ini berfungsi untuk menghalang berlakunya ovulasi serta menebalkan mukus servik bagi mencegah sperma daripada mencapai rahim. Contoh bagi pil kombinasi ini adalah seperti Nordette, Yasmin, Regulon, Mercilon, Marvelon dan Microgynon. · Pil progestrone (hanya mengandungi hormon progestrone sahaja). Pil progestin ini pula berfungsi untuk menebalkan mukus serviks serta menipiskan dinding rahim; justeru ia menghalang kepada kehamilan. Pil ini sesuai digunakan bagi ibu yang masih menyusukan anak. Contoh bagi pil jenis ini adalah Cerazette dan Noriday. · Pil perancang kehamilan kecemasan. Pil ini juga sebenarnya termasuk dalam pil progestrone. Namun begitu, pil ini hanya di gunakan untuk mengelak kehamilan apabila diambil 72 jam selepas memubat hubungan seks tanpa perlindungan. Contoh yang popular bagi pil jenis ini adalah Postinor-2.
Namun begitu, sesetengah wanita mungkin tidak sesuai mengambil pil perancang kehamilan ini kerana mempunyai beberapa faktor risiko seperti: · Mempunyai sejarah thrombosis dalam vena (pembekuan darah dalam saluran darah) · Mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis · Mempunyai sejarah kanser payudara · Mempunyai sejarah serangan sakit jantung atau strok.
Secara umumnya, pil perancang kehamilan ini selamat bagi kebanyakan wanita. Akan tetapi, kaedah ini masih mempunyai kesan sampingan seperti: · Kecelaruan emosi · Penambahan berat badan · Ketegangan pada bahagian payudara · Penambahan mukus serviks · Pening kepala · Tiada haid
Sekiranya, si ibu mengalami kesan-kesan sampingan seperti yang dinyatakan, berbincang lah dengan doktor mengenai pil atau kaedah yang sesuai
