RINTANGAN ANTIBIOTIK- SEDARKAH ANDA AKAN BAHAYANYA?

“Saya demam, boleh berikan saya antibiotik?”
“Saya sering makan antibiotik sampaikan ada yang sudah tidak berkesan lagi pada saya”
“Saya nak antibiotik yang paling kuat untuk sakit saya.”

Itulah yang sering diungkapkan oleh sesetengah orang apabila datang ke klinik ataupun farmasi bagi mendapatkan rawatan bagi penyakit mereka. Akan tetapi, tahukah anda bahawa pengambilan antibiotik secara sembarangan boleh membawa kepada pelbagai kesan yang buruk pada tubuh badan; termasuklah suatu keadaan yang sinonim dipanggil sebagai “rintangan antibiotik” ini.

Apa itu antibiotik?
Antibiotik merupakan ubat yang bertindak dalam membantut pertumbuhan atau membunuh bakteria yang menyebabkan kepada sesuatu penyakit dalam badan manusia. Disebabkan antibiotik hanya bertindak kepada bakteria, maka penggunaanya bagi merawat jangkitan yang disebabkan oleh microorganisma yang lain seperti virus adalah tidak berkesan sama sekali.

Jadi, apa itu pula rintangan antibiotik?
Rintangan bakteria adalah suatu keadaan di mana antibiotik tersebut tidak lagi berkesan dan hilang keupayaannya dalam membunuh atau merecatkan pembesaran bakteria. Hal ini kerana bakteria yang pernah terdedah kepada sesuatu antibiotik; ia akan menjalani proses mutasi dan menjadi lebih kebal daripada sebelumnya. Pelbagai faktor yang menyebabkan rintangan antibiotik ini berlaku; termasuklah:
· Tidak mengambil antibiotik yang tertera pada label iaitu dos dan masa yang betul
· Tidak menghabiskan rawatan antibiotik
· Menggunakan antibiotic apabila tidak perlu.

Apakah kesan rintangan antibiotik?
1. Berlakunya penyebaran penyakit berjangkit
2. Meningkatkan kos penjagaan kesihatan dari segi pengunaan ubat antibiotik yang lebih kuat atau mahal serta tempoh rawatan yang berpanjangan
3. Kematian

Apakah langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini?
1. Mengambil antibiotik mengikut arahan seperti yang tertera pada label; iaitu dos dan masa yang ditetapkan.
2. Menghabiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor walaupun sudah sihat.
3. Tidak berkongsi antibiotik dengan orang lain.
4. Membeli antibiotik di farmasi dengan preskripsi daripada doktor.
5. Jangan menggandakan dos sekiranya lupa mengambilnya.

Kesimpulannya, masyarakat perlulah sentiasa peka terhadap pengambilan antibiotik dengan betul dan menghidarinya jika tidak perlu. Tanpa perubahan yang dilakukan, tidak mustahil bahawa isu rintangan antibiotik ini akan menjadi suatu ancaman utama dunia pada masa hadapan kelak.