KETAHUI 3 NUTRISI PENTING UNTUK WANITA HAMIL

Bagi setiap wanita yang bakal bergelar ibu, mereka pastinya akan mencari dan menginginkan sumber yang terbaik untuk kandungannya. Hal ini termasuklah dengan pengambilan nutrisi yang penting buat si ibu dan anak yang bakal dilahirkan. Secara umumnya, kita mengetahui bahawa pengambilan diet yang seimbang adalah cara yang terbaik untuk mendapatkan nutrisi yang penting. Justeru itu, si ibu adalah dinasihatkan untuk mengambil makanan yang seimbang daripada pelbagai sumber bagi memastikan anak dalam kandungan mendapatkan nutrisi yang mencukupi; sekaligus,ia juga memastikan si ibu sentiasa bertenaga sepanjang kehamilannya.

Namun begitu, sesetengah ibu tidak dapat menerimanya atas pelbagai sebab seperti alahan, loya, muntah dan sebagainya. Oleh itu, pengambilan suplemen vitamin dan mineral bagi mereka sangat penting agar tumbesaran anak dalam kandungan tidak terjejas. Sehubungan dengan itu, marilah kita ketahui beberapa jenis nutrisi yang diperlukan oleh si ibu dan kandungannya.

  1. Asid folik

Asid folik ialah sejenis folat (vitamin B) sintetik yang boleh didapati daripada makanan ruji seperti gandum, roti, bijiran dan pasta. Asid folik memainkan peranan dalam pembentukan sel darah merah serta sel –sel lain di dalam tubuh seperti kuku, kulit, otak dan saraf. Ia juga merupakan suatu elemen yang sangat penting semasa kehamilan; terutamanya pada trimester yang pertama. Hal ini kerana dalam jangka waktu tersebut, berlakunya proses pembentukan tulang belakang bayi yang dipanggil sebagai neural tube. Kegagalan untuk mengambilnya akan membawa kepada risiko kecacatan kongenital otak atau tulang belakang seperti “spina bifida” dan “anencephaly” (kepala bayi kecil atau tiada kepala).

Tambahan itu, pengambilan asid folik ini sebenarnya sangat digalakkan bagi wanita yang ingin merancang kehamilan dengan dos sebanyak 400 mcg sehari. Manakala, dos yang tinggi sebanyak 5mg disyorkan pada mereka yang berisiko tinggi seperti:

  • Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
  • Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
  • Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
  • Zat besi

Secara umumnya, wanita hamil sangat memerlukan zat besi di saat kehamilan mereka, bahkan pengambilan itu disarankan dua kali ganda daripada kebiasaannya. Hal ini kerana jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan serta ia juga mempunyai fungsi yang penting dalam pembentukan sel darah merah atau lebih dikenali sebagai “haemoglobin”. “Haemoglobin” inilah yang memainkan peranan dalam membawa oksigen ke sel-sel badan si ibu dan anak dalam kandungan agar sel-sel ini dapat bekerja dengan baik.

Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang menunjukkan tahap kandungan zat besi dalam darah mereka. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, supplemen zat besi perlu lah diambil. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan semakin berkurang dan boleh membawa kepada anemia (penyakit kurang sel darah merah). Malah, sebanyak 50% wanita hamil mengalami masalah ini dan risiko kepada penyakit ini akan menyebabkan kepada kelahiran pra-matang atau kelahiran bayi yang terlalu kecil.

Justeru itu, wanita hamil adalah dinasihatkan untuk mengambil zat besi sekurang-kurangnya 27 mg sehari. Untuk mereka yang mengalami masalah anemia ini pula, suplemen yang mempunyai kandungan zat besi yang lebih tinggi diperlukan. Antara contoh-contoh supplemen zat besi adalah:

  • Obimin
  • Sangobion
  • Iberet
  • Kalsium

Kalsium juga penting bagi wanita hamil dalam pembentukan tulang dan gigi bayi terutamanya ketika trimester yang ketiga. Bagi si ibu pula, kalsium berfungsi untuk mengelakkan tubuh mereka daripada mengalami kekejangan otot dan kerosakan pada gigi mereka. Tambahan itu, kajian juga telah menunjukkan bahawa kekurangan kalsium boleh mengundang risiko pre-eclampsia yang boleh membawa maut kepada si ibu dan anak dalam kandungan.

Oleh itu, pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun). Sekiranya si ibu tidak dapat mengambil susu dalam pemakanan seharian mereka, terdapat pelbagai sumber kalsium yang boleh didapati termasuklah sayuran hijau seperti brokoli, ikan sardine,yogurt, smoothie buah-buahan dan sebagainya.

Konklusinya, berbincang lah dulu dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup yang sihat bagi menentukan vitamin dan suplemen yang sesuai dan selamat diambil untuk wanita hamil. Malah, wanita hamil hendaklah pastikan tidak mengambil vitamin atau suplemen yang sebarangan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.