Kebanyakan individu terutamanya atlet pasti akan melalui detik-detik di mana mereka mengalami kekejangan otot semasa melakukan aktiviti fizikal. Kekejangan otot ini berlaku secara tiba-tiba dan ia tidak mampu dikawal; sekaligus ia menggangu fungsi di bahagian anggota badan berkenaan. Kekejangan otot ini juga selalunya melibatkan otot di bahagian betis namun ia turut boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuklah leher, abdomen, tapak kaki, bahu dan tangan.
Kekejangan otot ini adalah suatu fenomena yang berlaku apabila kotraksi otot sangat kuat dan di luar kawalan. Keadaan ini menyebabkan rasa sakit yang tinggi dan berterusan selama beberapa minit. Punca berlakunya adalah disebabkan oleh pengumpulan asid laktik dan bahan toksik yang berlebihan dan sekaligus, berkurangnya kandungan oksigen dan nutrien di bahagian otot berkenaan.
Terdapat pelbagai faktor risiko terjadinya kekejangan otot; termasuklah:
- Faktor usia – Individu yang berumur lebih cenderung mengalami kekejangan otot disebabkan otot mereka yang mula kendur dan mengecil.
- Dehidrasi – Kurang pengambilan air serta berpeluh secara berlebihan meningkatkan risiko kepada masalah ini.
- Atlet – Atlet lari jarak jauh lebih berisiko mengalami kekejangan otot.
- Teknik regangan otot yang salah
- Obersiti
- Tempoh dan intensiti senaman dilakukan secara berlebihan
- Mengandung
- Penyakit kronik seperti hipertiroid
Seandainya anda mengalami kekejangan otot, antara langkah-langkah yang anda perlu lakukan adalah seperti:
- Berhenti dan berehat daripada melakukan aktiviti tersebut
- Hidrasi diri dengan air yang mencukupi
- Melakukan aktiviti regangan dengan perlahan
- Letak ais pada bahagian tersebut
- Urutan ringan untuk melegakan kekejangan otot
- Mengambil ubat tahan sakit dengan selamat dan mengikut preskripsi yang betul seperti paracetamol (oral), ethychloride spray dan sebagainya
Kekejangan otot ini sebenarnya dapat di elakkan jika anda melakukan perkara-perkara tersebut. Contohnya:
- Melakukan aktiviti regangan dengan betul sebelum dan selepas senaman.
- Mengambil air dan nutrisi secukupnya.
- Melakukan senaman dengan intensiti dan tempoh yang optimum.
- Kurangkan berat badan yang berlebihan.
- Banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan
Sehubungan dengan itu, kekejangan otot ini mampu mengakibatkan kepada masalah pernafasan, pengsan serta kematian jika tidak di rawat dengan betul. Sekiranya anda sering kali mengalami kekejangan otot ini, adalah di nasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan selanjutnya.