Kita sering kali mendengar bahawa jangkitan cacing selalunya terjadi dalam golongan kanak-kanak. Tetapi, sebenarnya semua golongan termasuk golongan dewasa juga tidak terkecuali daripada mendapat jangkitan ini. Oleh kerana jangkitan cacing mampu menyebabkan pelbagai komplikasi dalam badan kita, jangkitan ini perlulah dikesan dan dirawat dengan segera.
- Apakah itu jangkitan cacing?
Jangkitan cacing adalah sejenis penyakit yang boleh berjangkit disebabkan oleh parasit (cacing) dan parasit ini berada di dalam usus manusia bagi mendapat nutrisi yang diperlukan. Terdapat pelbagai jenis cacing yang menyerang manusia termasuk:
- Cacing gelang
Di antara cacing-cacing yang tergolong dalam kumpulan ini ialah Ascaris lumbricoides dan Ascaris suum. Punca utama jangkitan cacing ini adalah melalui pencemaran sisa najis ke atas bahan makanan yang di makan mentah. Sehubungan dengan itu, cacing jenis ini seringkali boleh menyebabkan kematian manusia melalui kerosakan organ seperti jantung, paru-paru, hati, hempedu sehinggalah bahagian otak.
- Cacing kerawit
Di antara cacing yang tergolong di dalam kumpulan ini ialah “Abcylosotoma duodenale” dan “Necator americanus”. Cacing kerawit bergantung kepada darah manusia yang disedut melalui struktur gigi pada bahagian mulut cacing yang boleh mencengkam dinding saluran usus kecil. Jumlah darah yang dihisap dipercayai banyak dan kehilangannya menyebabkan anemia yang merupakan satu gejala utama penyakit yang disebabkan oleh cacing kerawit.
- Cacing rambu
Jenis cacing yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah “Enterobius vermicularis”. Cacing ini lazimnya meninggalkan telurnya di bahagian dubur dan sekiranya digaru dengan menggunakan jari, telur cacing akan dipindahkan ke jari dan menyebabkan jangkitan semula kepada manusia yang sama atau manusia baru. Cara ini merupakan cara yang lazim bagi jangkitan cacing rambu terutamanya di kalangan kanak-kanak sekolah.
- Apakah simptom-simptom jangkitan tersebut?
- Kurang selera makan
- Sakit perut
- Loya, muntah
- Pucat kerana kurang sel darah merah (anemia)
- Berat badan susut
- Perut kembung dan cirit birit
- Perkembangan fizikal yang lambat
- Kegatalan di kulit kaki atau dubur
- Kurang focus dalam aktiviti seharian
- Kerap letih dan tidak bermaya
- Apakah faktor-faktor yang menyebabkan jangkitan ini?
- Makan tanpa mencuci tangan
- Tidak memakai kasut atau selipar ketika keluar rumah
- Tidak memasak atau membasuh makanan dengan sempurna
- Tersentuh dengan najis yang tercemar
- Apakah cara untuk menangani masalah jangkitan cacing ini?
- Basuh dan memasak makanan dengan sempurna
- Memakai kasut atau selipar ketika keluar rumah
- Basuh tangan sebelum makan
- Gunakan tandas yang sempurna untuk pembuangan najis
- Kuku hendaklah dipotong pendek
- Pemberian ubat cacing seperti albendazole dalam masa 6 bulan atau setahun sekali.