Baik atau buruk kopi sudah menjadi perdebatan sejak tahun 1991. Saya pasti ramai antara kita sangat menyukai kopi. Jika kita lihat semakin banyak kedai-kedai kopi “hipster” mula beroperasi di sekeliling kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ini dapat membuktikan bahawa masyarakat tanpa mengira golongan tua atau muda gemar akan kopi sama ada untuk mengikut trend ataupun mereka sememangnya menggemari kopi secara peribadi.
BERAPA BANYAK KAFEIN DALAM SATU CAWAN KOPI
Kopi merupakan sumber kafein, vitamin B2 (riboflavin), magnesium dan polyphenol
1 cawan kopi (8 ounce) mengandungi kafein sebanyak 60mg-150mg. Saranan pengambilan untuk caffeine berdasarkan American Dietary guidelines adalah 400mg iaitu bersamaan 3-4 cawan sehari.
JENIS-JENIS KOPI
Kopi sebenarnya berasal dari buah yang dipanggil coffee cherry. Terdapat dua jenis utama kopi iaitu Arabica dan Robusta. Arabica berasal dari Ethiopia serta menghasilkan rasa kopi yang lebih enak dan lembut. Arabica merupakan biji kopi yang lebih mahal kerana sanagat sensitif kepada persekitaran, memerlukan perlindungan, kelembapan dan suhu yang sesuai di antara 18° C-23.8°C.
Manakala, robusta merupakan biji kopi yang lebih mesra ekonomi kerana ia lebih lasak dengan perubahan iklim seperti cuaca panas atau sejuk.
KEBAIKAN KOPI UNTUK PENCINTANYA
Adakah kopi mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada kesihatan kita?
- Kopi dapat mengurangkan risiko kematian disebabkan penyakit kardiovaskular dan koronari sebanyak 19% berbanding mereka yang tidak minum kopi (Poole,Kennedy,Rodrick et al).
- Kopi membantu meningkatkan kepekaan dan menjadikan kita lebih fokus. Penggemar kopi sekiranya belum mendapat “morning coffee” pastinya akan menjadi murung dan tidak bertenaga untuk memulakan hari mereka. Kafein di dalam kopi menghalang adenosine iaitu kompaun di dalam otak yang menyebabkan keletihan dan mengantuk.
- Kopi boleh menceriakan mood seseeorang. Berdasarkan kajian daripada A.Nehlig, pengambilan kopi secara sederhana sebanyak 75mg sekali secara kerap mampu membaiki mood seseorang. Kajian dari National Institiute of Health menunjukkan penguran masalah depresi dalam kalangan individu yang mengambil 4 cawan kopi sehari.
SARANAN PENGAMBILAN KOPI
Individu yang mengalami masalah atau penyakit seperti gastrik, tekanan darah tinggi, kencing atau ibu mengandung dinasihatkan untuk mengambil kopi tidak lebih dari 150mg atau 2 cawan sehari.
Buat pilihan yang bijak dan pilihlah kopi yang mengandungi kurang gula atau pemanis lain seperti coklat atau karamel. Kandungan gula yang tinggi dari sirap atau pemanis di dalam kopi menyebabkan pertambahan kalori dan boleh menaikkan berat badan individu. Pesakit kencing manis terutamanya perlu memberi perhatian dengan pilihan kopi mereka untuk mengelakkan pengambilan gula berlebihan.
Kurangkan juga pengambilan kopi segera kerana mengandungi krimer dan gula yang tinggi yang dapat menjejaskan kesihatan.
Pilih kopi kurang manis seperti kopi o atau kopi dan susu segar supaya dapat mendatangkan manfaat kebaikan.