Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) menunjukkan bahawa 21.8% kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut dalam tumbesaran. Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak adalah merujuk kepada kegagalan mencapai standard tumbesaran yang normal atau boleh di kenali sebagai Failure to Thrive (FTT).
Kegagalan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak atau FTT bermaksud kegagalan dalam perkembangan serta pertumbuhan fizikal disusuli dengan kegagalan perkembangan motor dan sosial kanak-kanak. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini termasuklah masalah perubatan yang menggangu pengambilan makanan kanak-kanak seperti penyakit jantung kongenital, penyakit usus dan gangguan system saraf. FTT ini juga boleh disebabkan oleh simptom perubatan seperti muntah-muntah, cirit birit, hilang selera makan dan kembung perut.
Kanak-kanak yang mengalami masalah FTT perlu diberikan perhatian terutamanya dari segi amalan pemakanan. Hal ini kerana, amalan pemakanan yang tidak sempurna boleh menyebabkan masalah seperti kekurangan zat makanan yang kronik sekaligus memburukkan lagi keadaan kanak-kanak tersebut.
Bagi mencapai pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum untuk bayi dan kanak-kanak, pemakanan yang seimbang dan berkalori tinggi adalah diperlukan.
Kebiasaannya, pada tahun pertama kehidupan, kanak-kanak lebih cepat membesar dan seharusnya mendapat keperluan tenaga dan nutrien yang mencukupi. Pemakanan yang seimbang dan sihat sangat digalakkan untuk memastikan mereka mendapat jumlah kalori yang betul mengikut umur. Walau bagaimanapun, mungkin ada kanak-kanak yang mengalami masalah tiada selera makan sehingga berlakunya kegagalan tumbesaran kerana kekurangan nutrisi. Bagi kanak-kanak yang tidak mendapat jumlah kalori yang mencukupi, ibubapa perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kandungan kalori dalam makanan anak-anak.
CARA MENINGKATKAN KANDUNGAN KALORI DALAM MAKANAN
- Makan bijirin sarapan atau oat bersama susu penuh krim
- Sapukan marjerin/jem pada biskut, roti dan lempeng
- Goreng ayam/ikan terlebih dahulu sebelum dicampur dalam bubur
- Celupkan roti dengan telur bersusu
- Hidangkan minuman berkhasiat seperti milkshake
- Hidangkan ubi kentang goring/kentang putar bersama ayam/daging
- Kenalkan sayur-sayuran goreng bersalut tepung bersama makanan harian
- Berikan produk tenusu seperti yogurt, dadih, aiskrim, ice blended dan keju
Setiap kanak-kanak membesar dengan kadar yang berbeza dan boleh dinilai dengan membandingkan ukuran berat, tinggi badan pada carta pertumbuhan yang normal. Tempoh dari lahir sehingga berumur dua tahun adalah penting kerana pertumbuhan dan perkembangan fizikal sedang berlaku. Jika mereka tidak mendapat nutrisi yang mencukupi, tumbesaran dan perkembangan boleh terbantut. Oleh itu, ibubapa digalakkan untuk membuat pemeriksaan secara berkala di klinik sekaligus memantau tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Contoh carta pertumbuhan yang normal (growth chart)