Apa itu Sindrom Ovarium Polisistik (PCOS)? (Bhg.2)

PCOS atau Sindrom Ovarium Polisistik mungkin tiada penawar dan tidak boleh sembuh tetapi terdapat beberapa pilihan rawatan untuk mengurus PCOS.

  1. Mengamalkan gaya hidup yang sihat.
    • Mengamalkan pemakanan yang seimbang beserta senaman berkala (30 minit setiap sesi sekurang kurangnya 3 kali seminggu) dapat membantu menurunkan bacaan insulin dan seterusnya membantu dalam penurunan berat badan. Wanita PCOS biasa akan mengalami kerintangan insulin dan ini boleh menyebabkan tahap gula semakin meningkat dan untuk mengatasi masalah ini, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin. Insulin yang tinggi boleh menyebabkan pertambahan berat badan.
    • Diet dan senaman juga dapat mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular serta meningkatkan emosi yang baik.
    • Kurangkan makanan dan minuman manis serta tinggi Glycemic Index (GI), ambil makanan yang tinggi omega-3, yang tinggi serat, yang tinggi protein tanpa lemak dan yang tinggi antioksida.
  2. Dapatkan berat badan atau BMI yang ideal.
    • Penurunan berat badan sebanyak 5%-10% sangat membantu mengurangkan gejala PCOS serta meningkatkan kesuburan pesakit PCOS.
  3. Amalkan diet yang sesuai.
    • Penurunan berat badan sebanyak 5%-10% sangat membantu mengurangkan gejala PCOS serta meningkatkan kesuburan pesakit PCOS.
  4. Ubat-ubatan.
    • Metformin: untuk menangani masalah kerintangan insulin.
    • Clomiphene/ letrozole: untuk meningkatkan ovulasi (pengeluaran telur dari ovari)
    • Pil Perancang (OCP): untuk megurangkan penghasilan hormon androgen, memperbetulkan kitaran haid serta menghindarkan kanser rahim. OCP yang mempunyai anti-androgen (cyproterone acetate) boleh juga mengurangkan hirsutism dan jerawat.  
    • Ubat jerawat topikal (contoh: retinoid, clindamycin, benzoyl peroxide) boleh digunakan untuk masalah jerawat.
  5. Pemeriksaan doktor berkala untuk saringan kencing manis, darah tinggi, kanser rahim atau masalah kemurungan.

Kajian terbaru mengenai PCOS

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa wanita PCOS mempunyai tahap Vitamin D yang lebih rendah. Oleh itu, adalah disyorkan kepada wanita PCOS untuk meningkatkan pengambilan vitamin D, di mana ianya boleh membantu mengurangkan keradangan kronik yang berkaitan dengan PCOS. Selain itu, bakteria baik dalam usus juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan gejala (simptom) PCOS. Kajian dalam model tikus menunjukkan gejala PCOS berkurangan atau menjadi semakin baik apabila didedahkan dengan bakteria baik. Oleh itu, prebiotik dan probiotik boleh digunakan sebagai sebahagian daripada rawatan untuk wanita PCOS.

Penyakit PCOS ini sangat unik kerana punca sebenar masih belum diketahui. Lebih banyak kajian yang diperlukan untuk memahami penyakit ini. Bagi anda yang mengalami simptom-simptom berkaitan penyakit PCOS, segeralah berjumpa doktor dan berbincanglah rawatan yang sesuai untuk anda.

Leave a Reply