Apa itu Sindrom Ovarium Polisistik (PCOS)?

Polycystic Ovary Syndrome atau Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) adalah masalah ketidakseimbangan hormon yang paling biasa berlaku dalam kalangan wanita, di mana melibatkan sehingga 10% wanita dalam usia reproduktif mereka. Ketidakseimbangan hormon ini menyebabkan pesakit PCOS mengalami kitaran haid yang tidak teratur. Pesakit PCOS mempunyai tahap hormon androgen (hormon lelaki) yang lebih tinggi berbanding wanita normal. Tahap hormon androgen yang tinggi ini akan menghalang kebolehan ovari untuk menghasilkan dan melepaskan telur (ovum) dan seterusnya boleh menjejaskan kesuburan pesakit.

Apa itu ovari polisistik ?

Ovari polisistik adalah keadaan di mana terdapat banyak sista kecil (folikel-folikel) yang tersusun pada permukaan ovari dan ianya hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound.  Keadaan ini berlaku pada 20% wanita yang normal.  Bukan semua wanita yang mempunyai ovari polisistik mempunyai masalah PCOS (hanya melibatkan 6-7%). Tetapi wanita yang telah didiagnos dengan PCOS mempunyai ovari polisistik.

Apakah penyebab PCOS ?

Punca sebenar berlakunya PCOS masih belum diketahui. PCOS lebih lazim berlaku dalam kalangan ahli keluarga berbanding populasi umum, bermakna ia boleh diwarisi. Jika ibu, mak cik atau adik beradik mempunyai PCOS, kemungkinan untuk anda mendapat PCOS akan meningkat.

Satu kajian di Sweden telah menunjukkan bahawa anak perempuan kepada wanita yang menghidap PCOS adalah lima kali lebih berisiko untuk menghidap PCOS.

Wanita PCOS mempunyai tahap luteinizing hormone (LH) dan hormon lekaki (androgen) yang lebih tinggi yang boleh mengganggu fungsi normal ovum. Akibatnya, kadar estrogen, progesterone, LH, folikel merangsang hormon (FSH) menjadi tidak seimbang.

Gejala ini berbeza antara satu pesakit dengan yang lain. Ada yang mengalami gejala yang sedikit, walaubagaimanapun ada yang mengalami gejala yang melampau. Gejala yang timbul akibat PCOS sebenarnya berpunca dari ketidakseimbangan hormon dalam badan.

Bagaimana PCOS didiagnos ?

Tiada ujian tunggal yang boleh mendiagnosis PCOS. Diagnosis PCOS perlu melibatkan beberapa gabungan penemuan klinikal seperti sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal, penemuan ultrasound ovari, serta ujian darah. Pada masa ini, profesional kesihatan menggunakan Rotterdam criteria untuk mendiagnosis PCOS, iaitu diagnosis PCOS  dibuat apabila wanita itu mempunyai mana-mana dua daripada tiga yang berikut.

  1. Oligomenorrhea atau haid tidak teratur atau jarang atau tiada haid.
  2. Hiperandrogenisme (hormon androgen tinggi). Boleh diketahui melalui ujian darah.
  3. Ovari polisistik iaitu boleh diketahui melalui imbasan ultrasound.

Apakah yang berlaku apabila PCOS tidak dirawat ?

Jika PCOS dibiarkan dan tidak dirawat, wanita tersebut berisiko lebih tinggi untuk mengalami:

  1. Type 2 diabetes Mellitus, terutama jika wanita tersebut mempunyai berat badan yang berlebihan (BMI >25). Walaupun BMI adalah normal, seorang wanita yang menghidap PCOS perlu disaring untuk penyakit diabetes jika berumur lebih daripada 40 tahun, mempunyai sejarah penyakit diabetes semasa mengandung, atau mempunyai sejarah keluarga penyakit diabetes. PCOS diklasifikasikan sebagai faktor risiko yang tidak boleh diubah suai untuk penyakit type 2 diabetes mellitus. Bagi wanita PCOS, insulin dalam badan menghadapi kerintangan dan tidak dapat berfungsi seperti biasa. Hasilnya paras gula dalam darah meningkat. Kerintangan insulin juga menyebabkan masalah dysipidemia dan ini akan meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan kardiovaskular (darah tinggi, strok, jantung)
  2. Penyakit hati berlemak bukan alkohol: Kajian terkini menunjukkan bahawa PCOS dikaitkan dengan keradangan kronik gred rendah dan wanita PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit hati berlemak bukan alkohol.
  3. Kanser endometrium (kanser rahim): haid yang tidak teratur disebabkan ketidakseimbangan hormon menyebabkan selaput endometrium menebal sehingga terhasilnya hyperplasia dan seterusnya terjadinya kanser rahim. PCOS tidak meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payu dara atau kanser ovari.
  4. Gangguan emosi seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan makan.

Adakah PCOS boleh sembuh ?

PCOS tiada penawar dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom PCOS di samping mencegah komplikasi yang boleh timbul akibat PCOS.

Antara matlamat rawatan untuk wanita PCOS adalah mengurangkan gejala PCOS, mengurangkan faktor risiko untuk penyakit kencing manis, penyakit kardiovaskular dan mencegah dari penyakit kanser endometrium, merancang dan mendapatkan kehamilan yang selamat.

Amalkan cara hidup sihat dan kekalkan berat badan yang ideal. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat serta halal. Dengan cara-cara hidup seperti inilah, PCOS dan komplikasinya dapat dibendung dan dikurangkan.

Leave a Reply