Gout merupakan sejenis radang atau artitis akut. Ia terjadi apabila berlaku pengumpulan asid urik yang tinggi dalam badan. Kebiasaannya apabila badan mencerna purin, ia akan menghasilkan bahan buangan yang dipanggil sebagai asid urik. Purin terbentuk di dalam badan secara semula jadi dan juga terdapat dalam sesetengah jenis makanan. Namun begitu, apabila buah pinggang tidak lagi mampu membuang asid urik keluar dari badan, ia akan menjadi kristal dan berkumpul di sekeliling sendi yang akhirnya akan menyebabkan kesakitan dan bengkak pada bahagian sendi. Antara bahagian yang sering terkena serangan gout termasuklah ibu jari kaki, sendi pada telapak kaki, buku lali, lutut, jari tangan, pergelangan tangan dan siku.
Tips Pemakanan Bagi Pesakit Gout
Obesiti & Gout
Seperti tajuk artikel kali ini, adakah status berat badan dan gout saling berkait? Ya, obesiti atau berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko untuk menghidap gout. Dalam erti lain, penurunan berat badan dapat menurunkan paras asid urik dan mengurangkan serangan gout. Tambahan pula, penurunan berat badan juga akan mengurangkan tekanan terhadap sendi-sendi.
Berdasarkan kajian, Indeks Jisim Tubuh atau BMI terutamanya obesiti adalah antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit gout. Hal ini kerana, obesiti akan menyebabkan kerintangan insulin yang juga mempengaruhi pengurangan perkumuhan asid urik oleh buah pinggang.
Oleh itu, individu yang mempunyai berat berlebihan dinasihatkan untuk menurunkan berat badan secara sihat untuk mengawal paras asid urik dalam darah. Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa penurunan berat badan secara mendadak dalam masa sebulan akan menyebabkan peningkatan asid urik dalam darah. Kebiasaannya, penurunan berat badan sihat adalah antara 0.5 kg hingga 1 kg seminggu. Penurunan berat badan yang sihat dapat dicapai dengan mengamalkan diet suku-suku separuh dan melakukan aktiviti fizikal.
Secara ringkas, apabila berat badan turun secara mendadak akibat badan dalam keadaan berlapar atau diet yang “extreme”, paras asid urik juga akan meningkat. Hal ini kerana badan akan gunakan sel lemak sebagai tenaga. Di dalam sel lemak tersebut ada tersimpan asid urik, maka asid urik tersebut akan dikeluarkan dari sel lemak yang digunakan. Tambahan lagi, apabila mengamalkan diet yang “extreme”, sejenis protein (ketone) akan meningkat di dalam badan dengan mendadak. Seperti asid urik, ketone juga dikeluarkan oleh buah pinggang. Oleh itu, asid urik yang sedia ada dalam darah akan bersaing dengan ketone untuk ditapis oleh buah pinggang dan akhirnya dikeluarkan dari badan melalui air kencing. Kesimpulannya, status berat badan mempengaruhi serangan gout dan penurunan berat badan yang ideal serta tidak secara mendadak dapat mengawal paras asid urik dan sekali gus menurunkan serangan gout.